Gaya Hidup

Bijan Jadi Bahan Ketawa Netizen, Ketahui Jenama Termahal Di Dunia Ini

SEMALAM tular di media sosial nama beg tangan mewah berjenama Bijan sehingga ia menjadi bahan ketawa.

Beg tersebut adalah salah satu barangan mewah yang dirampas dari enam lokasi penggeledahan yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika sidang media khas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang berlangsung semalam, nama jenama berkenaan disebut sehingga mengundang ketawa para media.

Suratan atau kebetulan, perkataan ‘bijan’ merujuk kepada ejaan terbalik nama mantan Perdana Menteri sebelum ini.

Justeru, tidak hairanlah ia menjadi bahan ketawa netizen dan tular. Dalam pada itu, rupa-rupanya ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui wujudnya jenama mewah bernama Bijan.

Menerusi carian di Google, beg tangan mewah itu direka pereka terkenal kelahiran Iran, Bijan Pakzad yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Koleksi mewah rekaan Bijan Pakzad seperti minyak wangi, kasut dan beg tangan dijual di butik House of Bijan.

Antara pelanggan House of Bijan adalah bekas Presiden AS, Barack Obama, pewaris takhta diraja Britain, Putera Charles, pengasas majalah Playboy, Hugh Hefner, pelakon terkenal seperti Pierce Brosnan dan Arnold Schwarzenegger serta Raja Monaco, Putera Rainer.

Malah, dikatakan sepasang stoking jenama Bijan dijual pada harga mencecah RM403. Manakala tali leher pula dijual bermula pada harga RM4.031 setiap satu.

Bagi persalinan sut pula, ia dijual bermula pada harga RM100,000. Setiap pelanggan perlu membuat temu janji terlebih dahulu sebelum memasuk butik Bijan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.