Luar Negara

Berpakat, Dua Remaja Perempuan Bunuh Diri Selepas Berswafoto

DUA remaja perempuan mengambil swafoto yang dijadikan gambar profil WhatsApp masing-masing sebelum terjun ke dalam perigi untuk membunuh diri.

Mayat dua gadis berusia 17 tahun yang identiti mereka tidak didedahkan, ditemui di lokasi yang terkenal sebagai tempat untuk membunuh diri di Mumbai, India.

Menurut pihak polis, dua remaja terbabit mengambil swafoto berhampiran perigi itu sejurus sebelum kematian mereka.

Telefon pintar, gelang kaki dan kasut mereka ditemui berhampiran perigi itu seterusnya dianggap bukti oleh polis bahawa mereka memang berpakat mati lemas bersama.

Keluarga mereka yang terkejut dengan kejadian itu berkata, kedua-duanya tidak langsung menunjukkan tanda mengalami kemurungan atau mahu membunuh diri.

Bapa seorang daripadanya berkata, anaknya baru-baru ini memintanya membeli baju yang dilihat di televisyen.

“Saya memang sudah membelikannya, malah akan sampai dalam beberapa hari namun anak saya tiada lagi untuk memakainya,” katanya.

Polis sedang memeriksa telefon bimbit dua sahabat itu untuk mengetahui motif mereka, namun semua perbualan WhatsApp mereka sudah dipadam.

Baru-baru ini salah seorang gadis berkenaan memutuskan hubungan dengan teman lelakinya atas alasan dia sedang bercinta dengan lelaki lain dan polis tidak menafikan ia mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian.

Ia dipercayai kejadian bunuh diri keempat di situ dalam tempoh dua tahun.

Times of India melaporkan, dua rakan itu anak petani yang tinggal berdekatan. Seorang daripadanya masih bersekolah manakala rakannya bekerja sebagai tukang jahit.

Mereka dipercayai menghubungi rakan lelaki sebelum terjun ke dalam perigi itu. Rakan mereka segera menelefon seorang abang mangsa yang terus bergegas ke situ namun tidak sempat menyelamatkan mereka. –KLICK.MY