Sensasi Terkini Viral

‘Tak Masak Bukan Tak Rangup’ Dalih Juri MasterChef UK

MUNGKIN kontroversi mengenai komen salah seorang juri MasterChef UK tentang kulit ayam dalam masakan rendang tidak rangup, telah menjadi episod hitam dalam hidupnya.

Apakan tidak, isu itu menjadi tular seluruh dunia sehinggakan netizen dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bersatu mengecam chef tersebut.

Malah, ianya bukan sahaja mendapat perhatian rakyat biasa tetapi juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Setelah dikecam bertubi-tubi, akhirnya Gregg Wallace yang bertanggungjawab melontarkan komen tersebut tampil memberi kenyataan dalam program televisyen Good Morning Britain (GMB) bersama seorang lagi rakan jurinya, John Torode semalam.

Bagaimanapun dia tetap tidak meminta maaf sebaliknya terus berdalih dan memberi alasan.

Menurut Wallace, dia tidak bermaksud perkataan rangup itu seperti ia digoreng.

“Saya kata kulit (ayam) tidak rangup. Saya tidak bermaksud ia tidak dimasak seperti ayam goreng.

“Apa yang saya maksudkan adalah ia tidak dimasak. Ia memang tidak masak,” katanya.

Isnin lalu, peserta Malaysia, Zaleha Kadir Olpin telah menyediakan hidangan nasi lemak dan rendang ayam untuk program MasterChef UK.

Berkaitan: Tersingkir MasterChef UK Gara Gara Ayam Rendang Tak Rangup

Bagaimanapun, Wallace dan Torode mengkritik rendang yang disediakan Zaleha dan menyingkirkannya daripada program realiti tersebut.

Menurut laporan atas talian, Kate Garraway dari GMB bertanya kepada Wallace untuk menjelaskan apa yang berlaku dan juri tersebut berkata bahawa Zaleha dihantar pulang kerana masakan peserta lain lebih lazat.

“Tapi anda cakap rangup” dan Wallace membalas: “Yang pastinya, masakan terbaik pasti akan lepas (ke peringkat seterusnya).”

Torode turut mempertahankan keputusan mereka dan berkata beliau pernah merakamkan siri masakan di Malaysia dan menyifatkan makanan di negara ini “hebat”.

Selepas mendengar komen Garraway bahawa beliau patut tahu tentang rendang itu, Torode membalas dengan yakin: “Memang saya tahu. Saya cakap kepada dia (Zaleha), ia belum cukup masak.”

Wallace pula menjelaskan Zaleha tidak tersingkir kerana ‘kulit rendang’ tidak rangup.

“Dia terkeluar sebab masakan lain lebih bagus,” tambahnya.

Sebelum itu, Wallace mengulas tentang komen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penyingkiran itu dengan berkata: “Kerana kekecohan itu Perdana Menteri Malaysia turut terlibat.”

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kalaulah Wallace awal-awal lagi meminta maaf, pastinya perkara ini tidak akan berpanjangan.–KLICK.MY