Hiburan Sensasi Terkini

Bekas Suami Mas Idayu, Aman Graseka Akhiri Zaman Duda

AKHIRNYA bekas suami penyanyi Mas Idayu yang juga aktor terkenal, Aman Graseka, 51, mendirikan rumah tangga setelah lebih 10 tahun menduda.

Aman memilih model dan pelakon baharu, Reena Areena, 29, sebagai isteri.

Pasangan ini diijabkabulkan dalam majlis ringkas di Masjid Al-Huda, Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah pada jam 11 pagi, kelmarin setelah hampir setahun bercinta.

Gambar-gambar pernikahan mereka dimuat naik di laman Facebook oleh rakan-rakan yang menghadiri majlis berkenaan.

Menurut Reena seperti dilaporkan BH Online, bukan niat mereka sengaja menyembunyikan hari bahagia sebaliknya mahu melaksanakan perkara wajib sahaja iaitu akad nikah.

“Kami tidak nikah sorok-sorok, sebaliknya hanya membuat kenduri kecil-kecilan. Majlis akad nikah dan persandingan hanya dihadiri ahli keluarga dan teman terdekat.

“Bagaimanapun kami merancang mengadakan majlis resepsi untuk keluarga dan kenalan tidak lama lagi,” katanya.

Tambah Reena, dia dan suami tidak merancang mengadakan majlis pernikahan secara besar-besaran. Malah, perancangan berkahwin diatur secara mengejut.

Mereka juga tidak bertunang sebaliknya terus bernikah kerana menganggap perkara baik harus dipercepatkan.

Malah selepas akad nikah dan persandingan selesai, Aman bergegas ke Melaka kerana terikat dengan penggambaran sebuah drama di sana.

“Sebaik selesai majlis, suami meminta izin daripada ibu bapa saya untuk bertolak ke Melaka.

“Kami tidak berkecil hati kerana faham suami ada tanggungjawab pada kerja. Selepas menyiapkan kerja barulah kami fikir soal berbulan madu,” katanya.

Bercerita mengenai perkenalan mereka, menurut Reena dia berkenalan dengan Aman ketika  menjalani penggambaran drama bersiri Papa Nak Menantu terbitan Zeel Production di Perlis, tahun lalu.

“Perbezaan usia 22 tahun tidak menghalang cinta kami. Saya jatuh hati dengan sikap penyayang dan romantik suami,” ujarnya.

Aman yang mencipta populariti menerusi filem Cinta Kita pada 1995 pernah berkahwin dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu pada 1997.

Namun, perkahwinan mereka hanya bertahan selama 10 tahun dengan dikurniakan seorang cahaya mata, Nurdayini Ashiqah yang  kini berusia 20 tahun. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.