Hiburan Sensasi

Bekas Peserta Akademi Fantasia 2016, Emy Maut Dalam Kemalangan

SEMALAM, dunia hiburan tanah air menerima khabar duka tentang bekas peserta Akademi Fantasia 2016 (AF20160), Zahrul Hilmi Badrul Hisam yang maut dalam kemalangan di Kilometer 17.8 berhampiran Kampung Kelawat, Jalan Tamparuli-Ranau, Sabah.

Allahyarham yang juga dikenali sebagai Emy, 25, dan berasal dari Kampung Muhibbah Berungis, Batu 18 di Tuaran, meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah lori tiga tan.

Astro AWANI melaporkan, Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superitendan Dzulbaharin Ismail berkata siasatan menyeluruh masih giat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang seorang lelaki berusia 25 tahun dan sebuah lori muatan tiga tan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu lori, seorang lelaki berumur 55 tahun memandu dari arah Ranau ke Kota Kinabalu dan setiba di lokasi kemalangan, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Tamparuli ketika melalui satu selekoh menaiki bukit telah hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan  lori tersebut.

“Akibatnya mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Emy sebelum ini pernah diserap masuk pada minggu ketiga dalam program realiti terbabit selepas menjuarai pertandingan JoHaRockstar.

Bagaimanapun Allahyarham tersingkir pada minggu kelima konsert AF 2016 sebelum meneruskan kegiatan seninya di arena hiburan tempatan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen