Luar Negara Terkini

Balasan! Perogol Diarak Dalam Keadaan Bogel Di Khalayak Ramai

DUA perogol menerima padah atas perbuatan terkutuk mereka apabila penduduk sebuah kampung di Yingkiong, India bertindak membogelkan mereka.

Kedua-duanya juga dipaksa berjalan dalam keadaan bogel sebagai balasan kerana didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, baru-baru ini.

Kedua-dua lelaki itu dipaksa berjalan di Jalan Yingkiong di Arunachal Pradesh tanpa seurat benang, manakala kedua-dua tangan diikat di belakang badan bagi mengelak mereka melarikan diri.

Sebilangan wanita yang menyaksikan hukuman itu tidak melepaskan peluang menampar kedua-dua lelaki berkenaan sebelum mereka diserahkan kepada pihak polis.

Polis berkata, mangsa dipercayai bersetuju keluar bersama salah seorang lelaki tersebut selepas berkenalan di Facebook. Dia kemudian dirogol oleh kenalan barunya itu bersama tiga lagi rakan suspek.

“Mereka kemudian menghantar gadis berkenaan pulang ke rumah kira-kira pukul 2 pagi dan mangsa melaporkan kejadian itu keesokan harinya,” kata jurucakap polis.

Penduduk di negeri Arunachal Pradesh dikatakan sudah terbiasa membogelkan perogol sebagai hukuman bagi memalukan mereka di khalayak ramai. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen