Terkini Viral

Azwan Ali Sahkan Bertanding PRU-14 Lawan Abang Sendiri

DEMAM Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin terasa bahangnya. Walaupun penamaan calon bakal diumumkan secara rasmi pada 28 April nanti, namun kebanyakan parti yang bertanding sudah menamakan calon pilihan masing-masing.

Dalam senarai calon yang bertanding, satu nama yang agak kontroversi menarik perhatian ramai.

Individu tersebut tidak lain tidak bukan adalah selebriti yang popular dengan mulut ‘laser’, Azwan Ali.

Lebih menarik, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menentang abangnya sendiri yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Harian Metro Online melaporkan Azwan mendakwa keputusannya untuk bertanding dibuat susulan sokongan banyak pihak, terutama peminat setianya dalam memastikan perjuangan menjatuhkan Azmin, menjadi kenyataan.

Malah, Azwan juga mendakwa akan bertanding di mana sahaja, kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi Azmin.

“Saya berjuang atas prinsip dan perjuangan untuk menjahanamkan Azmin Ali. Ini adalah satu tugasan dan amanah yang mungkin orang lain tak mampu nak buat.

“Walaupun dikecam menjatuhkan darah daging sendiri, terpulanglah, kerana saya lebih mengenali pengkhianat bangsa ini,” katanya.

Azwan antara individu yang lantang mengecam Azmin, selain pernah membuat laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember tahun lalu.

Azmin adalah penyandang kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008.

Mengulas lanjut, Azwan juga tidak menolak menggunakan strategi bersifat peribadi bagi menewaskan Mohamed Azmin, dengan mendakwa beliau menyimpan banyak rahsia abangnya.

“Dia pemimpin yang penuh aib, paling munafik dan teruk dalam sejarah Selangor dan perlu dihapuskan kerjaya politiknya menjelang PRU-14.

“Kalau orang masih mahu pangkah Azmin Ali, teruskanlah tetapi tunggulah bala besar daripada Allah,” katanya.

Mengulas mengenai wang yang akan digunakan pada PRU-14, Azwan menjelaskan tidak bergantung dengan dana daripada mana-mana parti politik.

“Saya bukan nak cakap besar, tapi duit saya berlambak dalam bank. Andainya tewas teruk sekali pun, wang pertaruhan itu saya anggap sebagai sedekah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).

“Kalau tewas pun tak apa. Saya tetap tidak berkudis dan tak akan menyesal kerana sekurang-kurangnya, peratus undi dia akan terjejas.

“Tapi jika menang, saya akan buat kenduri doa selamat terbesar dengan rakyat kawasan saya akan dapat merasa rendang saya secara percuma, dan tidak akan menjadi wakil rakyat yang hanya menjenguk kawasan ketika PRU,” ujarnya.

Perbalahan yang berlaku dalam keluarga ini sememangnya diketahai umum. Masing-masing tidak bersependapat.

Semoga satu hari nanti keluarga ini dapat bersatu dan saling bermaafan. Bak kata pepatah air yang dicencang tidak akan putus. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen