Terkini Viral

Azizulhusni Pilih Shaheizy Bawa Wataknya Dalam Filem Biografi

KISAH kejayaan jaguh lumba basikal trek dunia, Azizulhasni Awang yang lebih popular dengan gelaran The Pocket Rocketman bakal difilemkan tidak lama lagi.

Segala kisah pahit dan manis yang dilalui Azizul hingga bergelar juara dunia dalam acara berbasikal trek akan diadaptasi dalam filem biografi atau biopik yang dijadualkan tayangannya pada 2019.

Bagi menjayakan watak dirinya, Azizul berhasrat memilih  Shaheizy Sam bagi memegang watak The Pocket Rocketman.

Menurut Azizul, filem ini diangkat berdasarkan kisah sebenar dan pengalamannya sejak kecil sehingga berjaya meraih gelaran juara dunia.

“Akan ada cerita yang mana saya hampir meninggal dunia apabila dilanggar lori semasa mengayuh basikal di kampung, ada cerita waktu saya tiada duit untuk bertanding dalam acara lumba basikal dan ada juga cerita saya perlu berkorban demi keluarga.

“Memang banyak kisah suka duka yang akan disampaikan. Cerita sebegini kalau diceritakan semula memang boleh buat saya sebak. Tetapi mesej utama filem ini adalah menceritakan saat suka duka sehingga saya mampu berdiri teguh menjadi juara dunia pada waktu ini.

“Bukan itu sahaja, filem ini akan menerapkan tema perpaduan, semangat kesukanan dan ketabahan. Terlalu banyak nilai bakal ditayangkan yang saya harap akan memberi inspirasi buat anak muda,” katanya ketika ditemui di sidang media Filem Biopik Azizulhasni Awang.

Bagi merancakkan pembikinan filem, satu program ‘Misi mencari Azizulhasni Awang’ akan diadakan dan ianya merupakan satu usaha produksi dalam mencari bakat bagi membawa watak Azizul.

Sementara itu, Shaheizy Sam turut memberi respon terhadap permintaan Azizulhasni. Menurutnya dia teruja ingin melakonkan watak jaguh keirin dunia itu.

Jelas pelakon Polis Evo itu lagi, beliau sememangnya meminati dan gemar melakonkan watak yang mempunyai kisah perjuangan.

“Saya memang teringin untuk melakonkan watak bagi filem bercorak biografi dan setakat ini saya belum pernah lakukannya.

“Jika diberi peluang, saya akan cuba menjiwai watak dan mahu mengenali beliau secara rapat,” ujar Shaheizy. –KLICK.MY

Sumber: Astro Awani

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen