Hiburan

“Award, Nak Buat Batu Nisan Pun Tak Laku”-Noorkhiriah Luah Rasa

BARU-BARU ini pelakon Jalil Hamid meluahkan rasa kesalnya berhubung nasib pelakon veteran yang dibayar murah sepertinya walaupun sudah menerima banyak anugerah.

Menurut Jalil, setelah bergelar artis veteran nilainya semakin turun apabila ada syarikat produksi yang menawarkan watak utama kepadanya tetapi hanya dibayar RM1,500 untuk dua hari.

Ujarnya lagi, bayaran tersebut tidak berbaloi setelah berpenat-lelah mengumpul anugerah pelakon terbaik dan popular selama 40 tahun dalam industri.

Keluhan itu disampaikan menerusi laman sosial dan ia menarik rasa simpati orang ramai termasuk rakan artis seperti Noorkhiriah.

Menurut pelakon drama bersiri Nur ini, dia memahami apa yang dirasai oleh Jalil kerana dia juga mempunyai beberapa anugerah tetapi tidak dipandang.

 “Berat mata mandang berat lagi bahu memikul, bertabahlah abang Jalil. Saya faham apa yang abang rasa, namun saya tak kuat untuk luahkan semua.

“Saya sendiri adalah beberapa award namun tetap terima nasib sama macam abang.

“Award tak menjanjikan bulan bintang, gaji yang tinggi even job pun, andai kita dah tak diperlukan lagi.

“Award tu hanyalah sekadar bukti pada anak cucu kita yang kita pernah menang satu masa dulu,” tulisnya di Instagram.

Tambah Noorkhiriah anugerah tidak menjanjikan bayaran mahal dan peluang cerah berbanding artis yang mempunyai banyak kontroversi.

“Industri kini, andai kau muda, cantik boleh jual, kontrovesi berbakul, yes, itu yang dibayar mahal, job bersusun dan bakat tolak tepi.

“Award tak menjanjikan apa-apa, even nak buat batu nisan pun tak laku, maka bertabah dan sabar. Abang Jalil Hamid insan seni hebat di mata saya,” tambahnya.

Begitulah lumrah yang berlaku dalam industri hiburan tanah air. Artis veteran atau yang tidak mempunyai jutaan pengikut di laman sosial, diketepikan dengan alasan yang tidak munasabah.

Penerbit dan syarikat produksi sekarang lebih mementingkan keuntungan dengan memilih barisan pelakon yang muda, cantik, mempunyai jutaan pengikut dan ‘kaya’ kontroversi murahan. Sedih!! –KLICK.MY