Hiburan

Atas Sokongan Ramai, Bob Lokman Kembali Buka Kedai Makan

BARU-BARU ini bertimpa-timpa ujian datang dalam hidup pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman.

Bukan sahaja diuji dengan penyakit serius, tetapi juga kehilangan anak sulung, Allahyarham Mohamad Adam pada awal Oktober lalu yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

Berkaitan: Anak Sulung Bob Lokman Meninggal Dunia, Hidap Ketumbuhan Dalam Otak

Sejak kematian anak sulungnya itu, Bob yang baru sahaja kembali berniaga terpaksa menutup kedai makannya ketika itu.

Allahyarham Adam (baju merah), menjadi tulang belakang Bob selama ini.

Namun, dalam temu bualnya bersama Harian Metro, Bob memberitahu dia kini telah kembali membuka kedai makannya yang ditutup sejak dua bulan lalu.

Malah, dia juga berterima kasih kepada rakan-rakan yang datang ke kedai makan miliknya sebagai tanda sokongan.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam), saya kembali berniaga di kedai makan yang ditutup sejak dua bulan lalu. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan yang hadir memberikan sokongan,” ujarnya.

Sungguhpun sudah membuka kembali kedai makan, keadaan kesihatan tidak mengizinkannya untuk terlalu banyak bergerak dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.

“Saya tak boleh terlalu banyak bergerak. Tapi, Alhamdulillah saya dah boleh memasak di rumah dan pekerja akan membawa barang-barang serta makanan yang sudah dimasak ke kedai,” katanya.

Tambahnya, dia masih lagi menjalani pemeriksaan kesihatan untuk penyakit-penyakit yang dihidapinya termasuklah penyakit jantung, paru-paru dan kencing manis.

Selain Bob, perniagaan itu juga dibantu oleh isteri, anak-anak serta pekerja.

Kedai makan milik Bob yang dibuka di TTDI Jaya, Shah Alam sebelum ini diusahakan oleh Adam yang meninggal dunia di usia 25 tahun. –KLICK.MY