Gaya Hidup Terkini

Ashraf Muslim Tinggal Keluarga Demi Misi Kemanusiaan

PELAKON Ashraf Muslim memberitahu dia terpaksa meninggalkan keluarga lebih seminggu bagi menyertai misi kemanusiaan ke Bosnia pada penghujung bulan ini.

Menurut Ashraf, biarpun pada awalnya berasa gementar dan bimbang namun dia tekad untuk meneruskan hasrat membantu umat Islam yang kini berada dalam kesusahan di negara tersebut.

“Saya terpaksa berkorban masa dan tinggalkan keluarga dalam tempoh lapan hari untuk ke Bosnia. Isteri-isteri terpaksa reda sahajalah.

“Kita tidak tahu bagaimana keselamatan di sana, mereka kata semua baik tapi ada kawasan yang masih lagi berada dalam keadaan yang tidak selamat dan umat Islam ditindas,” katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.

Ashraf mempunyai dua isteri iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

Pelakon itu mempunyai tiga cahaya mata bersama kedua-dua isterinya iaitu Sarah Ashraf, Anas Ashraf dan Adam Ashraf.

Ashraf bersama 11 selebriti lain terlibat dalam aktiviti mencari dana kemanusiaan menerusi Projek Squad Celebrity Global Volunteers bermula 19 April ini.

Projek itu direalisasikan dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Pertubuhan Ukhwah 4 Ummah (U4U).

Pelakon drama Geng Tadarus itu bersama Diana Amir dan Farah Lee, bertanggungjawab merakam video dan mendapatkan kutipan dana untuk rakyat Bosnia.

Selain Bosnia, IRM dan U4U turut menjayakan tiga lagi misi di Malawi (Afrika Timur), India dan Filipina membabitkan Irma Hasmie, Lufya Omar, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Zoey Rahman dan Lah Ahmad. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen