Gaya Hidup Terkini

Bomba Penjinak Ular Meninggal Dunia Akibat Bisa Ular Tedung

SETELAH beberapa hari bertarung nyawa melawan bisa ular tedung, akhirnya anggota bomba Abu Zarin Hussin meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAH) Temerloh, tengah malam tadi.

Abu Zarin telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut selepas dipatuk ular tedung dalam satu operasi di Bentong pada 12 Mac lalu.

Pada Selasa baru-baru ini, dia dilaporkan menunjukkan perkembangan positif apabila mulai sedar.

Sebelum ini tular di media sosial tentang kehebatan anggota bomba ini menangkap dan menjinakkan ular berbisa seperti tedung.

Allahyarham yang berusia 33 tahun dan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh di Bukit Angin, disahkan meninggal dunia pada jam 12.54 tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin ketika mengesahkan perkara itu berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Kampung Permatang Gading, Bukit Abal, Pasir Putih, Kelantan untuk dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini.

Abu Zarin sudah bertugas lebih 10 tahun sebagai anggota bomba dan pernah berkhidmat di BBP Muadzam Shah, Pekan dan kini di Temerloh.

Beliau mengetuai Skuad King Cobra Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang ditubuhkan sejak hujung 2015 sebagai tenaga pengajar bagi melatih anggota pasukan itu menangkap haiwan berbisa selain mengadakan ceramah dan taklimat kepada orang ramai.

Sepanjang kerjayanya, Abu Zarin pernah beberapa kali dipatuk  ular senduk dan digigit ular sawa,  malah pernah koma dua hari akibat dipatuk ular tedung pada 2015.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. –KLICK.MY

Sumber: BH Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen