Luar Negara

Anak Lembu Bermata Satu Tarik Perhatian, Anggap Keajaiban Tuhan

BAGI penganut Hindu, lembu dianggap sebagai binatang yang suci. Justeru, kelahiran seekor anak lembu bermata satu di timur India telah menarik perhatian ramai.

Anak lembu itu kemudiannya disembah sebagai tuhan. Anak lembu itu sebenarnya mengalami kecacatan ketika dilahirkan di daerah Bardhaman, Bengal Barat, India.

Menerusi satu video yang dikongsi di media sosial, haiwan pelik itu juga kelihatan tidak mempunyai hidung manakala lidahnya hanya terjulur serta berada dalam keadaan termengah-mengah.

Pemiliknya berkata, rumahnya sering dikerumuni penduduk kampung setiap hari kerana ingin melihat anak lembu itu.

“Mereka menganggapnya sebagai satu keajaiban daripada tuhan dan mula menyembahnya,” katanya.

Anak lembu itu dikatakan mengalami keadaan dipanggil sebagai cyclopia iaitu kecacatan jarang berlaku pada manusia dan haiwan.

Ia berlaku di dalam rahim apabila bahagian kanan dan kiri otak tidak berpisah seperti sepatutnya ketika awal kehamilan.

Ia menyebabkan ruang tengah terbentuk dengan satu mata dan kadangkala bebola mata bercantum separuh atau berpisah sepenuhnya dan tidak mempunyai bulu mata serta kelopak mata.

Hidupan yang dilahirkan dengan cyclopia mungkin dapat membezakan keadaan gelap atau bercahaya namun penglihatan menjadi kabur disebabkan retina mata tidak dapat berfungsi dengan baik.

Kebiasaannya, haiwan atau manusia yang dilahirkan dengan keadaan itu akan mati disebabkan masalah pada otak serta pernafasan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.