Hiburan

“Anak Kau Tu Dah Tak Betul”-Netizen Kutuk Anak Zarina Zainuddin

ADA sesetengah netizen semakin lama semakin biadap dan langsung tidak menghiraukan perasaan orang lain.

Malah, mereka juga sering menjadikan artis popular sebagai mangsa kejian dan kecaman.

Sama ada sengaja meraih perhatian atau tidak, mereka sering menggunakan ‘fake akaun’ untuk melakukan kegiatan tersebut.

Salah seorang mangsanya ialah pelakon popular Zarina Zainuddin. Umum mengetahui, Zarina mempunyai dua orang anak kembar istimewa bernama Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai.

Kedua-duanya menghidap autisme. Zarina menjadikan Instagram sebagai medium untuk peminat dan orang ramai lebih mengetahui kehidupan anak-anak autisme.

Dia sering memuat naik video berkenaan Azil dan Aizal. Rata-rata netizen bersimpati dan kagum dengan kegigihan serta kecekalan Zarina membesar anak-anak istimewanya itu.

Namun, ada juga netizen yang bertindak meninggalkan komen di Instagram dengan kata-kata kesat dan menyakitkan hati.

Sebagai pengajarannya, Zarina bertindak memuat naik satu komen daripada netizen yang bersikap biadap dan mengutuk anak-anaknya sebentar tadi.

Netizen yang menggunakan nama @ami.ron.399 itu tanpa rasa bersalah melontarkan kata-kata hinaan.

“Anak kau tu dah tak betul, sibuk je nak tunjukkan kat video, menakutkan aje tengok,” tulisnya.

Namun, Zarina tidak mudah melatah dengan membalas kata-kata kesat. Sebaliknya dia menjelaskan walaupun anak-anaknya tidak berapa betul, tetapi kasih sayang yang dicurahkan tidak pernah berkurangan.

“Anak akak tak berapa betul, akak pun baru nak belajar jadi betul. Takpe kasih sayang akak pada anak melimpah-limpah bak air pasang yang tak pernah surut. Syukur Alhamdulillah nikmat dan rahmat Allah bagi hidup.

“Kita tak pernah sempurna sampai bila-bila kerana Allah tak pernah salah menguji hambaNya.

“Semoga awak juga dalam rahmat Allah dik,” tulis Zarina.

Rata-rata netizen mengutuk sekeras-kerasnya kepada netizen yang biadap itu. Buat ‘fake akaun’ semata-mata mahu mengutuk dan menghina orang lain. –KLICK.MY