Semasa Sensasi Terkini Viral

Anak Ditebuk Sana Sini Ya Allah, Kau Kuatkan Hatiku!

Tatkala melihat anak kesayangan dibawa ke unit kecemasan, hati Suryia Kamaruzaman mula berdebar-debar. Hatinya tidak keruan. Patutlah pada hari tersebut hatinya tidak tenang rupa-rupanya ada kisah duka yang sampai ke cuping telinganya.

Dia cuba tenangkan hati walaupun naluri keibuannya terus mengusik emosi. Ditarik nafas panjang-panjang. Mulutnya terkumat-kamit beristghfar. Segala-galanya diserahkan pada Yang Maha Kuasa. Doa dipanjatkan agar anak tunggalnya itu kuat berdepan dengan kesakitan.

Menurut Suryia, kejadian pada 2016 itu masih bugar dalam ingatannya. Entah bagaimana tiba-tiba anak kesayangan, Ahmad Khuzairi Abdullah, 10, pengsan. Dengan segala kudrat wanitanya, dia terus bawa anaknya itu ke hospital.

Setelah tiba di hospital, Khuzairi terus di bawa ke unit kecemasan Hospital Sultanah Aminah. Setelah diperiksa, tekanan darah Khuzairi begitu tinggi.

“Anak saya sakit sejak dari bayi lagi. Namun,pada tahun lepas sakitnya itu kembali berulang. Dia tiba-tiba pengsan. Apabila bawa ke hospital, doktor kata darah Khuzairi tinggi iaitu 250/132. Kemudian dia dibawa ke wad ICU selama 10 hari bagi pemantauan rapi.

“Selepas itu tiga hari di wad biasa dan telah dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail kerana di sana ada doktor pakar buah pinggang. Luluh hati saya apabila doktor bagi tahu buah pinggang anak saya rosak tahap dua iaitu CKD stage 4.

“Kemudian saya diuji sekali lagi pada bulan Ogos 2016 kerana keadaan anak saya makin teruk. Doktor sahkan kerosakan buah pinggang sudah pada tahap akhir (ESRF) dan perlu didialisis segera. Masa itu hanya air mata sebagai peneman. Hanya pada Allah tempat saya mengaadu kerana saya ibu tunggal,” ceritanya yang kini menetap di Tampoi, Johor Bahru.

Senyuman anak penawar duka

Benarlah kata orang, senyum seorang anak adalah penawar duka seorang ibu. Walau dalam keadaan berduka dan sedih mengenang nasib anak kesayangan, hadir sekuntum senyuman daripada anak membuatkan Surya kembali bersemangat.Ibu mana yang sanggup melihat anaknya ditebuk sana sini.

Namun itulah yang perlu dilalui oleh Suryia. Oleh kerana keadaan Khuzairi bertambah buruk, dia perlu menjalani rawatan cuci darah selama dua bulan. Satu tempoh yang membuatkan Suryia berperang dengan emosi dan tenaga.

Usahkan air mata, keringat sekali pun seakan-akan kering mengenangkan penderitaan yang dialami oleh anaknya itu.

“Pada bulan 10 2016 bermulalah rawatan CAPD (cuci air diperut melaui tiub). Khuzairi telah jalani tiga kali pembedahan untuk memasukkan tenkoff di perutnya.

“Saya sudah bersedia dari awal dengan segala kemungkinan yang datang. Tapi hati seorang ibu, mana ada ibu yang sanggup tengok anaknya ditebuk sana sini. Rasa down, sedih kadang-kadang datang dalam diri saya.

“Namun sokongan daripada kawan-kawan,keluarga banyak buat saya kembali tenang. Kekuatan anak, semangat anak yang tak pernah merungut. Dia sentiasa ketawa dan ceria seolah-olah tak sakit buat saya semakin kuat.

“Khuzairi pernah terima rawatan seperti ditebuk di leher yang dikenali sebagai IJC untuk cuci darah. Dia telah jalani tiga kali pembedahan untuk pemasangan tenkoff akibat dua kali tenkoff block,” ujarnya.

Perlukan bantuan

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kehidupan Suryia tidaklah seindah orang lain. Keperitan hidup sebagai ibu tunggal diparahkan lagi dengan keadaannya yang tidak bekerja. Dia selalu runsing memikirkan masa depannya dan Khuzairi.

Kudrat yang ada, digunakan sebaik mungkin untuk berniaga kecil-kecilan ketika berada di hospital. Hasil pendapatan itulah digunakan untuk menampung perbelanjaan di hospital. Ibarat kais pagi makan pagi kasi petang makan petang.

Ujian yang datang itu cuba ditatang dengan jiwa yang kental. Demi anak tersayang, dia sanggup lakukan apa sahaja waima meminta bantuan orang ramai sekali pun. Justeru, dia berdoa agar ada pihak yang sudi membantunya.

“Mulanya saya berfikir macam mana nak jaga anak dengan keadaan rumah sewa sekarang yang banyak tikus.  Keadaan itu tidak sesuai untuk saya buatkan bilik khas bagi jalani rawatan CAPD di rumah.

“Pada mulanya timbul rasa tidak selesa bagaimana saya nak uruskan kehidupan seharian. Tenkoff di perut perlu dicuci setiap hari dalam keadaan yang bersih. Saya juga perlu sediakan bilik khas untuk Khuzairi dan sekarang masih menanti jawapan daripada pihak berwajib berkenaan rumah PPRT.

“Setakat ini saya hanya dapat bantuan perubatan daripada Baitulmal sahaja. Semasa berbulan-bulan di hospital saya menjual sambal garing, kerepek, tudung, jeruk bagi menampung perbelanjaan di hospital. Apa saja yang kawan-kawan tawarkan untuk saya jual, pasti saya tak tolak.

“Pengalaman paling getir adalah saya pitam di wad semasa jaga anak akibat terlalu stres dengan memikirkan masalah rumah PPRT yang tiada jawapan. Saya memerlukan bantuan untuk kos deposit rumah dan juga pemasangan api air di rumah PPRT yang bakal saya dapat nanti,” akhirinya sayu.

*Sekiranya anda ingin menghulurkan bantuan, boleh hulurkan bantuan anda ke akaun BSN bernombor 01118-41-00006834-1 atas nama Suryia bte Kamaruzaman.