Sensasi Terkini Viral

Ammar Titan Didakwa Hina Mendiang Bapa Watson Nyambek

 

Pelawak dan pengacara, Ammar Titan didakwa di Mahkamah Majistret Sibu, Sarawak atas tuduhan menghina dan mempersendakan nama mendiang bapa pelari pecut negara, Watson Nyambek menerusi program Sukan Tak Sentral.

Azizul Ammar Abu Hassan atau lebih dikenali sebagai Ammar Titan, 30, didakwa secara sengaja mengaibkan dengan niat untuk  memecahkan keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Mei lalu kira-kira jam 11.30 malam di Hotel Medan apabila menyebut nama ‘Nyambek’ iaitu nama mendiang bapa Watson dalam keadaan menghina.

Turut didakwa atas pertuduhan sama adalah produser rancangan Sukan Tak Sentral yang diterbitkan oleh Primeworks Studios, Abdul Ghani Mohd. Mokhtar.

Majistret Saiful Sayoti membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Ammar dan Abdul Ghani diperintahkan hadir semula ke mahkamah pada 4 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Susulan kejadian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar mengumumkan rancangan tersebut ditamatkan siarannya serta merta dan pengacara, Ammar Titan besama enam kru digantung tugas mereka.

Ia juga bermakna Ammar tidak akan muncul di dalam mana-mana program terbitan Primeworks Studios.

Sumber: The Star Online