Hiburan Terkini

Amar Baharin ‘Sound’ Sesiapa Yang Sentuh, Cium Bayinya

IBU bapa yang dikurniakan anak pasti akan melindungi anaknya daripada segala perkara yang tidak baik berlaku. Itu lumrah terutamanya pasangan yang baru menimang cahaya mata.

Bayi amat mudah terdedah dengan jangkitan dan sebagai ibu bapa peranan mereka amat penting.

Justeru, bagi pasangan selebriti popular, Amar Baharin dan Amyra Rosli mereka amat melindungi anak mereka daripada terkena jangkitan.

Sebagai selebriti, pastinya anak mereka menjadi tumpuan orang ramai terutamanya apabila mereka berada di kawasan umum.

Justeru, Amar dan Amyra tidak mahu orang ramai menyentuh atau mencium anak mereka. Kedengaran seperti berlagak tetapi tindakan itu perlu diambil oleh mana-mana ibu bapa sekalipun untuk melindungi anak mereka daripada terkena jangkitan.

Pesanan tegas itu disampaikan oleh Amar menerusi Instagramnya. Dia juga memuat naik keratan sebuah majalah berkenaan ibu bapa dan bayi.

Majalah tersebut memaparkan kisah bayi yang kritikal gara-gara disentuh dan dicium oleh orang ramai.

Menurut Amar, sesiapa yang bertindak menyentuh dan mencium bayi adalah orang yang bodoh.

“Kalau betullah cerita ini, inilah perbuatan yang paling tidak bertimbang rasa. Kalau aku cakap B.O.D.O.H agak kasar bunyinya. But yes, siapa yang tak bertanggungjawab itu memang BODOH.

“Kalau kau suka, geram baby tu nampak comel, tak perlu sampai nak cubit pipi atau cium atau sentuh sekalipun. Kau kena faham, baby ini antibodi belum kuat.

“Kau ikut perasaan nafsu geram kau, cium baby atau sentuh baby tu, secara tak langsung kau sebarkan virus kat baby tu sampai sakit macam ini, siapa yang menanggung???” tulisnya.

Menurut Amar lagi, sekiranya dia terjumpa individu seperti ini, dia tidak teragak-agak untuk bersikap agresif.

Selain itu juga, Amar sempat berpesan kepada semua ibu bapa agak menjaga anak mereka dengan baik. Jangan kerana menjaga hati orang lain, anak sendiri menderita kesakitan.

“Aku nak mintak maaf juga kalau aku bertindak sedikit agresif kalau aku terjumpa makhluk-makhluk macam ini kat luar sana.

“Dan aku berharap supaya ibu bapa di luar sana, tolong tolong tolong jaga anak anda dengan baik. Jangan terlalu menjaga hati orang sampai anak sendiri terseksa macam ini,” katanya.

Benar juga apa yang diperkatakan oleh Amar. Kadang-kadang apabila melihat ada anak kecil yang comel lebih-lebih lagi anak selebriti, perkara pertama yang dilakukan mesti nak pegang dan cium.

Perbuatan tersebut secara tidak langsung membahayakan nyawa anak kecil. Jadi, selepas ini simpanlah perasaan geram itu dalam hati. –KLICK.MY