Jenayah Semasa

‘Along Taman’ Belasah Pemandu Lori Dicekup

14 Januari lalu, masyarakat dikejutkan dengan rakaman video seorang pemandu lori dibelasah dengan teruk hanya kerana tersilap mengundurkan lori hingga tergesel sebuah kereta Mercedes yang diparkir di belakangnya.

Dalam video berdurasi 2 minit 49 saat yang tular itu, mangsa dirakam telah dipukul dan ditendang oleh beberapa lelaki tanpa sebarang belas kasihan.

Kejadian berlaku di pekarangan kondominium di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 42 tahun akhirnya ditahan jam 11. 10 malam tadi dalam satu operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dengan bantuan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D8 Selangor dan JSJ D9 Bukit Aman.

Suspek yang diberi jolokan ‘Abang Long Taman’ ditahan ketika sedang bersembunyi di rumahnya di Sungai Long, Kajang.

Walau bagaimana pun proses penahanan dikatakan tidak mudah kerana suspek pada mulanya enggan memberi kerjasama dengan mengunci pintu rumahnya, membuatkan anggota bertugas terpaksa memecahkan pintu.

Tidak cukup dengan itu suspek dikatakan turut bertindak agresif dengan menyerang anggota polis sebelum berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk siasatan lanjut. -blast.my