Hiburan Muzik Selebriti

Album Terbaharu Siti Nurhaliza Dijual Di Butik, Stesen Petronas

Simetrisiti, album terbaharu Datuk Siti Nurhaliza kini boleh dibeli di 10 Kedai Mesra di stesen minyak Petronas terpilih dan butik pakaiannya, Creacion by Siti Nurhaliza.

Menurut Siti Nurhaliza, album ke-18 itu dijual di rangkaian kedai Mesra Petronas serta butiknya bagi memudahkan peminat kerana kedua-dua premis itu merupakan tempat tumpuan ramai.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis pembukaan cawangan kedua butik pakaiannya, Creacion by Siti Nurhaliza di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi pada 26 Mei 2017.

Siti menambah, selain pakaian dan album, peminat juga boleh mendapatkan produk kosmetik miliknya Simplysiti, di kesemua cawangan butik tersebut.

“Cara ini lebih mudah kerana para peminat Siti boleh mendapatkannya di bawah satu bumbung. Sambil membeli pakaian boleh terus membeli album dan juga barangan kecantikan,” katanya kepada pihak media.

Cawangan butik pertama Siti Nurhaliza telah pun dibuka di Jakel Mall sebelum ini, diikuti di Bangi Sentral pada hari ini, esok di Shah Alam dan seterusnya di Johor Bahru bagi memenuhi permintaan peminat beliau di selatan tanah air.

Lebih 100 peminat Siti Nurhaliza turut hadir ke butik sejak pagi bagi menyaksikan selebriti kesayangan mereka di depan mata dan sebagai sokongan kepada perniagaan beliau.

Menurut Siti Nurhaliza, beliau mensasarkan untuk membuka 10 cawangan butik di seluruh negara sehingga akhir tahun ini. –KLICK.MY