Gaya Hidup Sensasi

“Alasan Neelofa Menyimpang Dari Falsafah Pemakaian Hijab”

HARI ini kecoh netizen bercakap tentang tindakan pelakon jelita, Neelofa mengadakan majlis pelancaran tudung jenamanya di sebuah kelab malam.

Pelbagai kecaman diterima oleh Neelofa disebabkan lokasi majlis yang berlangsung semalam itu, terang terangan tidak sesuai dengan produk yang hendak dilancarkan.

Neelofa bagaimanapun sudah menjawab kritikan yang dilemparkan kepadanya dengan memberi alasan, lokasi kelab malam berkenaan dipilih kerana ia dapat memberi penjimatan kepadanya sehingga lapan kali ganda daripada segi kos. Tambahnya, dia juga sudah buat keputusan untuk tidak melayan sebarang kritikan orang ramai pada tahun ini kerana apa yang penting dia tahu apa yang dilakukannya.

BACA: Neelofa Tak Kisah Dikecam Pilih Kelab Malam Lancar Tudung

 

Kenyataan Neelofa itu mendapat perhatian seorang pensyarah dan penyelidik di Jabatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Dr Rafidah yang menyatakan rasa sedih serta terkilan beliau dengan cerita pelancaran tudung di kelab malam oleh Neelofa telah memuat naik posting berikut untuk menyatakan pendapat dan luahan hatinya.

Antara yang disuarakan ialah pandangannya tentang wanita muslim masa kini yang semakin jauh daripada prinsip dan falsafah sebenar pemakaian hijab.

Point lain yang diberi penekanan oleh beliau ialah peranan hijab sebagai identiti yang berkembar rapat dengan taqwa selain tanggung jawab wanita muslim untuk menjauhi tempat-tempat yang boleh mengundang maksiat.

“Identiti kita sebagai wanita muslim sepatutnya menjauhi tempat-tempat maksiat seperti kelab malam apatah lagi The Zouk. Kelab malam tersebut pernah mengundang pelbagai kontroversi kerana penangkapan artis muslim yang minum arak dan pertandingan ratu cantik melibatkan peserta Islam suatu masa dahulu.

“Adakah difikirkan pelancaran hijab itu boleh mengislamkan entiti kelab malam seperti The Zouk atau sebenarnya normalisasi yang sedang berjalan bahawa wanita muslim yang bertudung juga sudah bebas boleh mengunjungi kelab malam?” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan alasan yang diberikan oleh Neelofa kerana beranggapan penyanyi dan usahawan berjaya itu boleh memilih tempat lain yang lebih rendah kosnya dan yang penting lebih mulia berbanding kelab malam.

Pendirian Neelofa untuk tidak mempedulikan kata-kata orang menurut Dr Rafidah, memang ada benarnya namun beliau menyarankan agar Neelofa juga merujuk ayat-ayat al-Quran berkenaan pemakaian hijab.

“Betul, jangan difikirkan kata-kata orang, namun mohon Neelofa rujuklah semula ayat-ayat al-Quran berkenaan hijab dan menghayati semula pesanan Allah SWT. Semoga Allah SWT melindungi kita dari fitnah akhir zaman ini,” katanya.

Semoga perkongsian Dr Rafidah ini dapat memberi pencerahan kepada semua dan mengingatkan kembali tujuan sebenar pemakaian hijab dalam agama Islam.

Jika pemakaian hijab bertujuan melindungi wanita daripada fitnah dan dosa maka tidak bermaknalah tujuan dan falsafah pemakaian hijab itu sendiri apabila pelancarannya dibuat di tempat maksiat. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.