Gaya Hidup

Akhirnya Terjawab, Ini Punca Sebenar Keracunan Makan Laksa!

SEJAK beberapa minggu lalu tular di media sosial mengenai keracunan makanan selepas memakan laksa yang dibeli di sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah pada 8 Oktober lepas.

Sehingga kini jumlah keseluruhan kes kekal 83 orang termasuk dua kematian susulan kejadian terbabit. Premis tersebut diarah tutup serta-merta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk disiasat.

Berkaitan: KKM Sahkan 2 Mangsa Meninggal Dunia Selepas Makan Laksa

Setelah beberapa lama menunggu hasil siasatan, akhirnya punca keracunan itu berjaya dikesan.

KKM mengesahkan agen penyebab keracunan makanan laksa tersebut berpunca daripada bakteria ‘salmonella enterica serovar weltevreden’.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian ‘Pulse Field Gel Electrophoresis’ (PFGE) yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang pada Ahad mendapati bakteria tersebut dikesan dalam sampel klinikal pesakit serta sampel mi laksa.

“Bakteria tersebut dikesan daripada mi laksa yang dibeli pada 4 Okt dari gerai terbabit. Mi laksa tersebut dihasilkan di premis pemprosesan milik pengusaha yang juga tuan punya gerai.

“Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih serta suhu penyediaan semasa pemprosesan selain suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman,” katanya.

‘Salmonella enterica serovar weltevreden’ merupakan salah satu serotaip bakteria ‘salmonella spp’ yang boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit birit berpunca daripada pencemaran makanan serta air.

Menurut Dr Noor Hisham, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Baling telah memaklumkan hasil keputusan siasatan ini kepada pemilik gerai terbabit.

“Gerai yang ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 pada 8 Okt boleh dibuka semula sekiranya mematuhi sepenuhnya Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kesihatan Makanan 2009 dan keperluan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Justeru, buat pengusaha-pengusaha kedai makanan, jadikan ia sebagai pengajaran berguna.

Pastikan premis anda bersih dan menepati syarat-syarat yang digariskan oleh KKM agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang. –KLICK.MY

Sumber: Astro Awani

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.