Semasa Sensasi Terkini Viral

Adik Rayyan Perlukan RM50,000 Tampung Kos Perubatan

Tatkala sibuk menguruskan anak-anak yang lain ke sekolah pagi itu, Roziyana Abd Razak tidak pernah sesekali melupakan anak ke-4nya yang sedang terbaring. Sambil itu, dia juga sibuk menguruskan si bongsu yang baru berusia enam bulan. Ibu kepada lima orang anak ini melakukan rutin harian. Tidak pernah sesekali dia merungut kepenatan. Baginya, anak adalah segala-galanya. Tanpa mereka, hidup terasa sunyi.

Menetap di PPR Jalan Jelatek, Kuala Lumpur dan di situlah mereka berlindung daripada panas dan hujan. Menurut Roziyana, dia tidak menyangka anak ke-4nya, Muhammad Daiyan Faris Rayyan, 2 tahun, itu menghidap penyakit kronik. Mengenangkan kembali detik-detik permulaan bagaimana penyakit itu dapat dikesan, membuatkan Roziyana sebak.

Keperitan dan kepedihan yang diterimanya ibarat baru semalam dilaluinya. Menurut isteri kepada Khairie Abd Karim ini, hanya air mata mengiringinya saat dikhabar berita buruk itu.

“Memang saya sedih sangat apabila doktor beritahu anak saya menghidap penyakit kronik. Dia disahkan menghidap salur darah tidak normal antara otak ke jantung dan cecair di dalam kepala (hydrocuphalus).

“Dapat tahu ketika usianya lapan bulan. Ketika itu saya pergi ke klinik untuk mengambil imunisasi. Namun ketika jururawat mengukur kepalanya, jururawat kata kepalanya lebih besar daripada usianya. Kemudian terus doktor buat surat untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sebaik sahaja sampai di sana, segala ujian dibuat seperti CT scan, MRI, echo jantung dan angiogram. Setelah itu barulah doktor tahu tentang penyakit yang dihidapinya. Ketika itulah hanya air mata yang dapat menggambarkan perasaan saya.

“Malah, lebih memedihkan apabila HKL tidak dapat buat apa-apa kerana peralatan tidak cukup untuk rawatan salur darah. Kemudian dihantar pula anak saya ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan terima nasib yang sama. Anak saya dihantar semula ke HKL dan mereka kata hospital terakhir ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Alhamdulillah di situ akhirnya anak saya dapat dirawat secara berperingkat. Namun kosnya pula agak tinggi lebih kurang RM50,000. Syukur kerana selepas kisah Rayyan disiarkan di beberapa akhbar utama, banyak pihak yang tampil membantu. Tak banyak sikit ia dapat membantu meringankan kesusahan yang kami alami. Setiap hari saya berdoa supaya Rayyan cepat sembuh.

“Hingga kini saya hanya mampu melihat Rayyan terbaring sahaja. Teringinnya saya lihat dia bangun dan riang sxeperti kanak-kanak yang lain. Saya hanya perlu menjaganya dengan rapi kerana dia tidak boleh duduk lama. Masa yang sama juga saya perlu uruskan hal anak-anak yang lain. Nasib baik ada suami yang membantu,” akhirinya yang bekerja separuh masa di sebuah salun.

*Kepada yang ingin menyalurkan bantuan, anda boleh salurkan ke akaun Maybank bernombor 514495690786 atas nama Roziyana bt Abd Razak.