Viral

“Adam Rayqal Tunggu Kami Di Syurga”-Pesanan Terakhir Bapa Mangsa

KELMARIN rakyat Malaysia digemparkan dengan berita adik Adam Rayqal yang dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki menyamar sebagai bapanya namun akhirnya ditemui mati di rumah pengasuhnya.

Mayat Adam Rayqal ditemui di ruang sejuk beku peti sejuk dua pintu di rumah pengasuhnya, kira-kira pukul 11 malam pada hari Selasa.

Ekoran itu, pengasuh serta teman serumahnya ditahan reman polis untuk siasatan.

Laporan bedah siasat menunjukkan Adam meninggal dunia disebabkan hentakan kuat di bahagian kepala dan pendarahan dalaman.

Semalam, jenazah Adam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

Ucapan terakhir bapa Adam kepada anak syurganya itu membuatkan ramai orang sebak.

Walaupun keletihan, Mohd Sufi Naief Mohd Fauzi tetap tabah berdepan dengan orang ramai malah sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana turut serta mencari anaknya sejak dilaporkan hilang.

“Kepada semua rakyat Malaysia saya selaku ayah Adam Rayqal mengucapkan terima kasih kerana sudi membantu dalam pencarian ini walaupun kita tahu…kita harapkan yang terbaik dalam pencariannya tetapi Allah lebih sayangkan dia, insya-Allah Adam Rayqal akan tunggu kami di syurga,” katanya.

Isterinya, Farrah Madihah Othman masih kelihatan sugul gagal menahan sebak dan menangis apabila mendengar suaminya mengucapkan kata-kata “Adam Rayqal akan tunggu kami di syurga” hingga mengheret mereka berada di sekelilingnya turut sama mengalir air mata.

Mohd Sufi Naief turut merayu agar orang ramai agar tidak menyebarkan gambar berkaitan mayat anaknya itu sebagai menghormati keluarga yang masih bersedih dengan insiden itu. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.