Hiburan

“Ada Orang Hantar Ilmu Hitam Tetapi Terkena Isteri”-Jamal Abdillah

DALAM dunia yang serba moden ini masih ada lagi pihak yang menggunakan ilmu hitam untuk berbuat jahat kepada orang lain.

Itu yang telah didedahkan oleh penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah.

Menurut penyanyi berusia 60 tahun ini, perkara itu berlaku ke atas isterinya, Zai Izzati sehingga sukar untuk hamil dan pernah mengalami beberapa kali keguguran sebelum ini.

Jamal percaya pelaku tersebut berkemungkinan ingin menghantar ilmu hitam kepadanya tetapi yang menerima tempiasnya adalah isteri sendiri.

“Mungkin orang yang menghantar ilmu hitam itu tujukan kepada saya tetapi terkena kepada isteri. Saya sangat kasihan kepadanya sebab sekarang badannya makin kurus.

“Orang mahu pedajal saya tetapi dia yang kena,” ujarnya ketika ditemui selepas sidang media Konsert 3 Suara semalam.

Bukan itu sahaja, isterinya juga mengalami pendarahan tanpa henti sejak beberapa bulan lalu.

Pelbagai cara digunakan termasuk berubat secara tradisional namun tiada perubahan positif yang berlaku.

Jamal dan Zai Izzati bernikah pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak dan itu merupakan perkahwinan keempatnya.

Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, hasil perkahwinannya bersama Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 12, daripada bekas isteri ketiganya, Fatimatuzahrah. –KLICK.MY

Sumber: Kosmo! Online