Terkini Viral

‘Abang Taranum’ Muncul Lagi, Kali Ini Sempena Demam PRU

KEHANGATAN pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin terasa apabila parti-parti politik mula memperkenalkan calon mereka.

Namun, apa yang mencuit hati para netizen ialah kemunculan dua individu yang  pernah tular dengan aksi taranum ‘gaji dah masuk’, kali ini menerusi video terbaharu mengenai pilihan raya.

Video berdurasi kira-kira dua minit yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Abang Ranum’ pada Jumaat malam itu, menyeru rakyat Malaysia supaya mengundi dengan bijak pada pilihan raya umum 9 Mei ini.

“Dengar sini semua rakyat Malaysia, sudah tiba musim pilihan raya. Hendaklah kita pangkah dengan bijaksana.

“Bikin undi rosak tiada guna. Kerana kita penentu masa depan negara,” katanya sambil bertaranum sebelum muncul seorang lelaki berperwatakan seperti wakil rakyat bersama poster ‘undilah calon’ yang ditampal di dinding.

Pemilik sebenar suara taranum itu, Alfian M Nor, 38, berkata, video tersebut dibuat bagi menyeru rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Pilihan raya ini diharapkan diadakan secara aman harmoni. Jangan amalkan budaya kecam mengecam dan harus hormati satu sama lain meskipun berbeza fahaman politik,” katanya, seperti dilaporkan mStar Online.

Rakan duetnya Irwan Effendy Bahtiar, 36, pula berkata, kemunculannya sebagai ‘YB’ sekadar guruan bagi menyuntik elemen humor dalam video yang dibuat bagi mengajak rakyat keluar mengundi itu.

“Sekadar suka-suka, tidak terlintas untuk bertanding menjadi wakil rakyat, calon pilihan raya. Ada lagi yang lebih layak dengan aura mereka tersendiri.

“Watak ‘YB’ yang dipaparkan di dalam video adalah secara sinikal, antara lain mahu menunjukkan calon-calon yang dipilih untuk bertanding diharapkan berkualiti dan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik kepada rakyat,” kata Irwan yang lebih dikenali sebagai Rocco.

Duo  ‘taranum’ ini mula dikenali dengan video tular mereka mengenai ‘hari gaji’ serta kemenangan pasukan Selangor ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Liga Super, kedua-duanya pada tahun lalu.

Kali terakhir video taranum mereka dibuat sebelum ini ialah sempena agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang berkelayakan pada Februari lalu. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.