Luar Negara Terkini

7 Cedera Celup Tangan Dalam Asid Mahu Mantapkan Ilmu Sihir

GARA-GARA mahu memantapkan ilmu sihir, tujuh lelaki cedera setelah mencelup tangan mereka ke dalam cecair dipercayai asid.

Tindakan mereka itu bagi mempelajari ilmu sihir yang membolehkan mereka ghaib atau halimunan.

Menurut pihak polis, upacara aneh yang dilakukan minggu lalu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Rawa Kopi di pinggir Jakarta, mengalami lecur serius di bahagian tangan.

Mereka terpengaruh dengan ajaran seorang lelaki misteri dikenali sebagai Didi yang berpindah ke kampung itu beberapa bulan lalu.

Didi mendakwa dirinya guru ilmu sihir tradisional dikenali sebagai Debus dengan kebolehan melindungi seseorang daripada kecederaan fizikal.

Kemudian dia menawarkan mangsa belajar sihir secara percuma selain berjanji memperoleh ilmu ghaib.

“Tujuh mangsa terpedaya dengan kata-kata lelaki yang mereka rujuk sebagai ‘guru’,” beritahu ketua polis tempatan, Harry Kurniawan.

Bagi membuktikan kata-katanya, Didi mencadangkan mangsa terbabit merendam tangan mereka ke dalam kimia yang dipercayai polis adalah asid.

Didi bertindak melarikan diri sejurus sekumpulan mangsanya menerima rawatan di hospital.

Janganlah mudah percaya dengan ilmu-ilmu yang tidak masuk akal ini. Lagi pun sudah terang lagi bersuluh ilmu sihir itu haram di sisi agama. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen