Terkini Viral

Mayat Pelajar M’sia Maut Kemalangan Akan Dibawa Pulang

MAYAT mendiang pelajar perubatan Malaysia, Soh Zhi Min, 23, di Universiti Edinburgh, Scotland, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Edinburgh, akan dibawa pulang dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini, keluarga mendiang sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan urusan membawa pulang mayat sedang diusahakan beberapa pihak, termasuk Suruhanjaya Tinggi Malaysia, JPA, polis, hospital dan Universiti Edinburgh.

“Zhi Min, pelajar tahun empat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), meninggal dunia di Hospital Edinburgh Royal Infirmary akibat cedera parah,” kata kenyataan itu.

Dalam kejadian 31 Mei lalu, basikalnya tersangkut pada laluan tram menyebabkan Zhi Min terjatuh ke laluan kenderaan utama dan dirempuh bas pelancong di tengah bandar Edinburgh.

KPT mengingatkan pelajar Malaysia supaya sentiasa berhati-hati, mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan terutama ketika memandu dan menguruskan pergerakan seharian

“Kementerian mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Zhi Min atas pemergiannya,” kata kenyataan itu. –HARIAN METRO