Gaya Hidup Sensasi Terkini

3 Tahun Tertangguh, Akhirnya Eira Syazira Pindah Ke Jakarta

REZEKI ada di mana-mana asalkan kita rajin berusaha dan pandai merebut peluang.

Bagi pelakon dan penyanyi Eira Syazira, hasrat untuk merantau ke negara orang yang tertangguh selama tiga tahun akhirnya bakal tertunai.

Tiga tahun lalu dia dilamar oleh syarikat Positif Arts Entertainment untuk melebarkan sayap dalam dunia nyanyian ke Jakarta.

Syarikat yang melamarnya itu bukan calang-calang kerana mereka juga menguruskan artis popular republik itu seperti Ayu Tingting, Wali Band, Matta Band dan Kerispatih.

Kalau ikutkan perancangan, selepas melahirkan anak kedua dia akan berhijrah ke sana. Namun hasratnya itu tertangguh kerana selepas melahirkan anak kedua dia mengandung lagi.

“Biarpun suami dan anak-anak ikut serta tetapi meninggalkan keluarga dan tanah air untuk mencari kehidupan yang lebih baik di negara orang memerlukan kekuatan jiwa.

“Ada ketika perasaan takut menguasai diri, bimbang ditipu dan dipermainkan. Bagaimanapun, saya sudah hampir tiga tahun bernaung di bawah syarikat itu.

“Mereka melayan saya dengan baik hingga sanggup menunggu hampir tiga tahun. Sepatutnya saya berhijrah ke Jakarta selepas melahirkan anak kedua tetapi saya hamil tanpa sedar tidak lama kemudian,” katanya, seperti dilaporkan BH Online.

Menurut Eira, dia bakal menghasilkan album di bawah naungan syarikat rakaman PT Nagaswara Sakti selain diberi peluang membintangi drama atau sinetron, Ramadan ini.

Eira berkata, dia juga perlu menunaikan janji untuk menyelesaikan rakaman lagu kedua berjudul Say ciptaan dan lirik dihasilkan komposer Indonesia, Endrru.

“Saya pernah merakamkan lagu Masih Ada Jodoh dua tahun lalu tetapi tidak sempat dipromosikan,” kata isteri kepada Azad Jasmin ini.

Eira yang yang melonjak namanya menerusi drama Bara dan Cinta Balqis menambah, keputusan besar yang diambil untuk berhijrah ke Jakarta adalah atas doa, restu dan semangat suami.

“Kalau diikutkan saya hanya mahu duduk di rumah menjaga cahaya mata, apatah lagi saya baru saja melahirkan anak ketiga.

“Bagaimanapun Azad memberi semangat untuk saya melebarkan sayap ke Jakarta. Alhamdulillah, rumah dan kenderaan disediakan untuk saya.

“Saya akan ke Jakarta lusa untuk rakaman lagu single kedua tetapi kembali semula selepas urusan kerja selesai bagi membuat persiapan berpindah,” katanya.

Semoga penghijrahan Eira sekeluarga berbaloi. Sudah berjaya nanti jangan lupakan peminat di sini ya! –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.