Viral

2 Lelaki Durjana Bunuh Kucing Bunting Guna Mesin Pengering Dobi

MANAKAH hilangnya sifat kemanusiaan dua orang lelaki yang disyaki membunuh seekor kucing yang sedang bunting mengguna mesin pengering dobi di Taman Gombak Ria, Gombak semalam.

Menurut laporan oleh Harian Metro, berdasarkan rakaman CCTV, suspek memasukkan haiwan itu ke mesin di sebuah kedai selepas mereka membasuh baju pada 12.30 tengah malam.

Dalam rakaman dua minit 50 saat, mereka beredar selepas menekan butang “mula”. Seorang pelanggan kemudian menemui bangkai berlumuran darah.

Pelanggan tersebut memaklumkan pengurusan dobi pada 10.30 pagi sebelum pemilik kedai mendapatkan nasihat Persatuan Haiwan Malaysia.

“Hasil penelitian CCTV mendapati memang terdapat tiga lelaki datang ke kedai dobi berkenaan untuk membasuh baju mereka.

“Namun, dua daripadanya tiga lelaki itu kemudian bertindak memasukkan kucing betina yang sedang bunting ke dalam mesin pengering dan membiarkannya,” kata presidennya Arie Dwi Andika.

Pihaknya membuat laporan polis pada 11 malam dan melaporkan insiden itu kepada penguatkuasaan Jabatan Veterinar Malaysia.

“Perbuatan dua lelaki itu memang cukup zalim dan berharap agar pelaku dijatuhi hukuman setimpal mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.