Semasa Teknologi

Samsung Galaxy A5, A7 Terbaharu Kalis Habuk & Air

Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd telah pun melancarkan dua peranti baharu dalam Galaxy A Series (2017) iaitu Galaxy A5 dan Galaxy A7.

Buat pertama kali dalam Galaxy A Series, varian 2017 ini diperkenalkan memiliki kelebihan kalis habuk dan air.

Kedua-duanya juga dilengkapi kamera depan 16 megapixel dan kamera belakang dengan f1.9 lensa dan cahaya untuk imej lebih jelas dan cantik walaupun dalam cahaya suram atau pada waktu malam, serta mempunyai satu ciri baharu iaitu butang kamera terapung yang boleh digerakkan dengan bebas di atas skrin.

Galaxy A Series baharu (2017) yang bersaiz 5.7 inci dan 5.2 inci dengan paparan skrin Super AMOLED memiliki bateri lebih besar – 3,600mAh untuk A7 dan 3,000mAh untuk A5 dengan keupayaan cas lebih pantas, penstoran boleh tambah hingga 256GB, folder lebih selamat dan Samsung Cloud.

Didatangkan dalam warna Black Sky dan Gold Sand, harga bagi model terbabit yang mula dijual pada 25 Januari ialah RM1,899 untuk Galaxy A7 dan RM1,699 untuk Galaxy A5, termasuk cukai barang dan perkhidmatan.

Tempahan awal bagaimanapun telah pun dibuka di outlet terpilih selain Lazada dan 11street, mulai 6 hingga 15 Januari ini.